iklan a

kik

Thursday, 18 September 2014

BAS PENGANGKUTAN MASUK SEMAK | Alor Gajah: Seorang pemandu bas patah kaki kanan manakala penunggang motosikal parah di kepala dan badan selepas terbabit kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Ayer Hitam Lendu, Masjid Tanah, di sini, kira-kira jam 8 pagi hari ini.


Sumber berkata, bas ekspres dipandu Norazam Mohd Salleh, 40, dari arah Alor Gajah ke Masjid Tanah hilang kawalan selepas sebuah lori membawa lima tan kelapa sawit mengubah haluan ke kanan ketika tiba di tempat kejadian. 

Bas itu merempuh belakang lori berkenaan dan terhumban ke dalam semak di kiri jalan manakala lori yang teranjak ke depan itu terlanggar motosikal ditunggang pekerja kilang, Mohd Adam Alias, 23, yang datang dari arah Masjid Tanah.

"Akibat kemalangan itu, pemandu bas terbabit tersepit di tempat duduk pemandu dan patah kaki kanan manakala penunggang motosikal cedera di kepala dan badan sementara pmandu lori tidak cedera," kata sumber.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah PBK2 Sangep Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.28 pagi sebelum ke lokasi kejadian bersama dua jentera. 

"Setibanya di lokasi kejadian kami dapati seorang pemandu bas ekspres berusia 40 tahun masih tersepit di tempat duduk pemandu manakala seorang penunggang motosikal terbaring dan cedera di atas jalan selepas kemalangan. 

"Pemeriksaan mendapati bas ekspres tiada penumpang dan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit kurang 10 minit sebelum dihantar ke Hospital Melaka manakala penunggang motosikal dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut," katanya ditempat kejadian, sebentar tadi.

0 comments:

Post a Comment

iklan d