KRIS DAYANTI AKAN BERDUET DENGAN HAFIZ SUIP DALAM KONSERT | Diva Indonesia Kris Dayanti atau lebih mesra dengan singkatan namanya KD telah menjawab teka teki pasangan yang bakal berduet bersamanya di Konsert Kris Dayanti Live di KL 22 November ini apabila Hafiz Suip telah dipilih oleh pihak pengurusan dan Kris Dayanti sendiri.
Hafiz Suip bakal menjadi pasangan duetnya pada malam tersebut seterusnya menyanyikan 3 buah lagu termasuk 2 lagu duet dan solo. Dia yang buat pertama kalinya bertemu Hafiz di sidang sedia yang diadakan di Royale Chulan yakin dan optimis bahawa penyanyi muda itu mampu untuk menggalas cabaran ini di konsertnya yang akan diadakan di Plenary Hall, KLCC.
“Saya baru pertama kali bertemu dengan Hafiz dan saya tahu dia bagus kerana menang anugerah di APM bersama dengan Rossa. Selain itu juga, saya pernah mendengar rakamannya di Jakarta. Melihatkannya dia seorang yang sopan sangat menghormati orang-orang di sekelilingnya”
“Saya yakin pasti ada magnet dan energi positif pada dirinya yang mampu membuatkan dewan konsert pada malam itu terpegun atas persembahan-persembahan yang akan dilangsungkan. Malah peminat-peminat dia juga mungkin akan datang untuk menyaksikan dia dan saya beraksi pada malam konsert itu nanti,” katanya yang penuh teruja.
Kris Dayanti juga akan menyanyikan lagu-lagu popularnya seperti, Mencintaimu, Pilihlah Aku dan banyak lagi, dalam modulasi yang berbeza atau diberikan nafas yang baru mengikut edaran masa terkini. Dia juga akan menyanyikan lagu Learning From Love iaitu lagu yang cukup bermakna sekali pada dirinya, kerana lagu itulah membuatkan dirinya bergelar juara Asia Bagus sekitar 90an.
Tidak Kecil Hati Dengan Tohmahan & Kontroversi Sebelum Ini
Sementara itu, umum mengetahui Kris Dayanti merupakan artis yang seringkali juga dikaitkan dengan kontroversi dan disebabkan itulah penyanyi bersuara lunak ini tidak pernah peduli untuk mengambil pusing atau membalas semula kenyataan-kenyataan tersebut.
Baginya dia lebih suka untuk bersikap terbuka dan berkongsi apa sahaja kepada peminatnya.
“Saya tidak kecil hati, lagipun saya bukan seorang yang tipikal orang seperti itu. Mungkin suami saya panas baran sedikit. Karakter saya seperti itu, saya suka sifat keterbukaan, tapi jangan disalahertikan pula,” katanya ringkas.
0 comments:
Post a Comment