SULTAN BRUNEI YAKIN DENGAN MALAYSIA | PUTRAJAYA: Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah melahirkan keyakinan mengenai sumbangan Malaysia dalam mempromosi keamanan dan keselamatan serantau sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC).
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei ke-18 di sini, hari ini, baginda mengucap tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung kejayaan itu.
Sultan Hassanal Bolkiah dan Najib menghadiri konsultasi berkenaan di Seri Perdana di sini yang juga acara peringkat tinggi paling penting antara kedua-dua negara.
"Baginda Sultan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia di atas kejayaan Malaysia terpilih sebagai Anggota Tidak Tetap UNSC bagi penggal 2015-2016.
"Bagi pihak kerajaan Malaysia pula, perdana menteri melahirkan penghargaan terhadap sokongan tidak ternilai yang diberikan kepada Malaysia oleh Brunei Darussalam," kata kenyataan itu.
Sultan Hassanal Bolkiah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Najib dan menyokong penuh di atas pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun depan.
Kedua-dua pemimpin mengulangi kepentingan ASEAN dan peranannya serta menanti pelaksanaan bersejarah Komuniti ASEAN pada 2015 di bawah pimpinan Malaysia.
0 comments:
Post a Comment