INDONESIA : DAKWAH TIDAK TERHAD PADA YANG ALIM | Puasa bukan alasan untuk seseorang mengehadkan aktiviti dan ia dibuktikan oleh 60 aktivis Komuniti Punk Muslim yang menyertai program Punksantren di Bogor sejak 4 Julai lalu.
Punksantren adalah aktiviti bersama Komuniti Punk Muslim dengan pertubuhan Dompet Dhuafa yang giat mengajak golongan muda yang meminati irama punk supaya kembali mendekatkan diri kepada nilai Islam.
Pengurus Pembangunan Sosial Dompet Dhuafa, Nugroho Indera Warman berkata, Ramadan adalah kesempatan terbaik untuk mereka memperluaskan kegiatan kebajikan, terutama ke atas golongan kurang bernasib baik, daif dan terpinggir.
“Sasaran kami termasuk anak jalanan yang lebih banyak meluangkan masa mencari rezeki dan penghidupan walaupun sebenarnya mereka wajar masih bersekolah,” katanya.
Selain diberi pendedahan mengenai ajaran Islam, Nugorho berkata, peserta program Punksantres juga diajar teknik menyelamat dalam keadaan darurat.
Kata Nugorho, mereka diajar supaya menjadi sukarelawan yang mampu membantu jika bencana menimpa.
“Latihan menghadapi bencana itu dikendali Pusat Pengurusan Bencana Dompet Dhuafa,” katanya.
Sementara itu, pemimpin Komuniti Punk Muslim, Ahmad Zaki, berkata, tahap pendidikan anak-anak punk jalanan masih rendah dan mereka perlu dibantu untuk meningkatkan kualiti diri.
“Melalui Punksantren ini, kami berharap mereka dapat menggunakan masa terluang dengan kegiatan bermanfaat.
“Alhamdulillah, setakat ini mereka gembira dengan program yang dianjurkan dan meminta kami melanjutkan aktiviti ini sehingga selepas Ramadan,” katanya.
Ahmad Zaki berkata, persepsi buruk yang dikaitkan pada anak punk tidak mematahkan semangat Komuniti Punk Muslim untuk berusaha mengubah nasib mereka.
“Kadang-kadang persepsi buruk itulah yang menghalang mereka untuk melakukan kebaikan dan berubah,” katanya.
0 comments:
Post a Comment