iklan a

kik

Friday, 4 July 2014

WARTAWAN HEBOH KERANA MENDAKWA DIRI SEBAGAI UTUSAN TUHAN | PORT DICKSON – Tanpa diketahui apa motif sebenarnya, seorang lelaki menjemput media menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) ke satu sidang media tergempar di bandar ini, semalam.

Menerusi SMS yang dihantar kepada beberapa wartawan media tempatan di daerah ini kelmarin, lelaki dikenali sebagai Balu, 40-an, mendakwa kononnya ada berita menarik mengenai Islam untuk dikongsikan bersama.

GAMBAR HIASAN

Bagaimanapun, sidang media yang diadakan di sebuah pekarangan masjid itu bertukar sesuatu tidak masuk akal apabila Balu mendakwa dirinya sebagai utusan tuhan untuk menyebarkan agama Islam.

Menurutnya, dia telah lama mendapat perintah dari tuhan, namun baru sekarang mahu mendedahkannya kepada umum.

Namun, Balu mengelak untuk memberitahu nama sebenarnya serta melarang jurugambar mengambil gambarnya dengan alasan ia larangan kepada dirinya.

“Saya sudah lama dilantik jadi utusan, semasa saya muda lagi, tapi sekarang baru saya nak beritahu orang ramai.

“Tapi sekarang ini, saya belum boleh beritahu bagaimana saya dilantik jadi utusan tuhan. Tetapi yang pasti, saya diutuskan untuk keselamatan dunia,” katanya.

Dia yang mendakwa sebagai seorang anggota tentera yang sedang dalam cuti peralihan untuk bersara, bagaimanapun kelihatan resah dan tidak selesa apabila diasak pelbagai soalan wartawan yang hadir pada sidang media berkenaan.

Akibat asakan demi asakan, sidang media itu hanya berlangsung kira-kira 15 minit apabila dia kemudian bergegas meninggalkan lokasi.

Sementara itu, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Ahmad Zaki Hamzah berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan atau aduan berhubung kejadian berkenaan.

“Sekiranya individu berkenaan bukan beragama Islam, pihak kami tiada kuasa untuk ambil tindakan.

“Ia disebabkan kami bergantung kepada enakmen jenayah syariah yang hanya boleh diguna pakai untuk mereka beragama Islam sahaja,” katanya, semalam

0 comments:

Post a Comment

iklan d