iklan a

kik

Sunday, 10 August 2014

OPERASI BOIKOT DIANGGAP TIDAK BERJAYA PUNCA McD MASIH DIKUNJUNGI | KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Meskipun terdapat seruan untuk memboikot rangkaian makanan segera McDonald’s yang dikatakan pro-Israel, banyak yang masih mengunjungi premis berkenaan.

Kebanyakan mereka berpandapat boikot tidak akan memberi sebarang kesan walaupun sebilangan lagi percaya ia telah membawa hasil.

Tinjauan Bernama di sekitar ibu kota hari ini mendapati masih banyak yang  mengunjungi premis McDonald’s.


Pekerja swasta Ravinya Racheal, 24, yang ditemui di premis McDonald’s di KL Sentral berkata tindakan memboikot produk yang mempunyai kaitan dengan Israel memerlukan kerjasama semua pihak.

“Kalau saya berhenti makan di McDonald’s adakah kedua-dua negara (Israel dan Palestin) akan berdamai. Saya tidak berniat jahat dan saya bersimpati terhadap apa yang berlaku di Gaza, tetapi situasi seperti ini perlu dikendalikan secara logik,” katanya.

Seorang lagi pekerja swasta, Mohammad Hariff, 29, yang ditemui di premis McDonald’s berhampiran kawasan Masjid Jamek berkata beliau sedih dengan apa yang berlaku di Gaza tetapi menganggap perbuatan memboikot tidak masuk akal malah hanya menyebabkan salah faham.

“Memboikot atau untuk menutup premis buat sementara adalah baik, tetapi kalau mahu menutup untuk selama-lamanya tidak masuk akal langsung. Premis makanan segera seperti ini merupakan tempat untuk pekerjanya mencari rezeki,” katanya.     

Pelajar institusi pengajian tinggi, Laila Azhan Ahmad Tajuddin, 27, berkata memboikot bertujuan menzahirkan perasaan protes terhadap kekejaman Israel.

“Namun tidak perlulah sehingga mahu menghancurkan kedai atau membawa makanan luar dan makan di dalam premis Mcdonald’s dan mengutuk pekerjanya, semua itu tak perlu,” katanya.

Namun seorang guru Muslim Muhmad, 27, menganggap boikot kali ini boleh memberikan impak besar kepada Israel.

“Ini menunjukan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap isu Palestin. Sekurang-kurangnya Israel tahu kita tidak bersetuju dengan tindakan ketenteraan rejim Zionis yang membunuh orang awam yang tidak berdosa di Gaza,” katanya. 

0 comments:

Post a Comment

iklan d