iklan a

kik

Thursday, 14 August 2014

SUAMI INGIN BERPOLIGAMI KERANA MIMPI KAHWIN LAGI | Saya musykil berkaitan mimpi. Baru-baru ini suami memberitahu saya, dia bermimpi sejak lebih setahun lalu supaya berkahwin dengan wanita berstatus andartu yang sering berurusan dengannya.

Keliru dengan mimpi itu, suami merujuk kepada ustaz dan me­nyatakan mimpi itu daripada Allah SWT, malah dia turut menyedari banyak perkara baik berlaku selepas mimpi itu, termasuk saya mengandung dan projeknya berjaya. 
Selepas berbincang, saya meminta untuk dilepaskan kerana enggan berkongsi kasih, lantas membawa pergaduhan. Tidak dinafikan sejak berkahwin, saya banyak berkorban dan sebab itu saya terkilan dengan sikapnya. 

Apabila suami menarik balik niat berkahwin lagi, perkara buruk terjadi seperti dia mengalami kemalangan dan projeknya gagal. Semua itu dianggapnya kifarah.

Sememangnya, sejak mendapat mimpi itu dia lebih dekat dengan Allah seperti sering solat malam, menunaikan solat jemaah di masjid pada waktu terluang, lebih ba­nyak mengaji al-Quran dan tidak lagi meninggalkan solat.


Saya kuatkan diri untuk memberi keizinan tetapi hati saya terluka. Suami seolah-olah percaya jika tidak mengikut petunjuk itu, dia akan menerima musibah. 

Adakah wajib atau tidak suami mengikut petunjuk mimpi? Jika tidak mengikut mimpi itu, adakah dia akan menghadapi masalah atau kecelakaan? 


INGIN TAHU 
Linggi 

Mimpi yang hadir boleh dibahagikan kepada tiga keadaan. Sebagaimana Rasulullah SAW pernah bersabda: “Mimpi ada tiga jenis: Mimpi yang datang daripada Allah SWT, mimpi yang berpunca daripada dirinya sendiri dan mimpi daripada syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim) 

Oleh itu, mimpi tidak boleh dijadikan sumber hukum kerana keraguan boleh timbul. Namun ada sesuatu yang diberi dalam mimpi sebagai petunjuk. 

Sudah maklum perempuan mempunyai emosi yang lebih, oleh itu bertindaklah mengikut syariat, bukan emosi dan sangkaan. 

Suami ada hak untuk berpoligami, sebagaimana isteri juga ada hak untuk dikasihi dan dijaga perasaannya. Tidak dinafikan, nafkah zahir dan batin termasuk menjaga emosi dan perasaan isterinya. 

Puan juga tahu bagaimana kemampuan suami dalam membuat keputusannya, oleh itu bantu dia membuat keputusan tepat. 

Selain memohon petunjuk Allah SWT, puan boleh meminta bantuan nasihat daripada mereka yang benar-benar berpengalaman supaya tidak mengeruhkan lagi masalah. 

Kesimpulannya, mimpi itu boleh dijadikan petunjuk tetapi mesti menepati nas dan dalil disyariat­kan. Wallahualam.

0 comments:

Post a Comment

iklan d